Masalah kewangan yang menghimpit segelintir masyarakat ini membuatkan mereka sukar membeli barangan keperluan.
Mereka juga terpaksa melakukan pelbagai kerja dalam satu masa berikutan waktu yang terhad untuk melakukan aktiviti di luar rumah.
Hadapi masalah kewangan
Kisah sama turut berlaku terhadap seorang buruh binaan warga asing di Pulau Pinang yang terkesan dengan pandemik sehingga terpaksa menggadai barang kemas.
Buruh binaan yang berasal daripada Lombok Timur, Indonesia bernama Roslan Saharuddin, 34, berkata kehidupan keluarganya berubah sepenuhnya akibat wabak.
Menurutnya, wang tabungnya telah habis digunakan sejak arahan pemberhentian sementara kerja-kerja pembinaan dikuatkuasakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei lalu.
Ini pertama kali saya berdepan masalah kewangan selepas enam bulan bekerja sebagai buruh binaan bangunan kerajaan di Seberang Perai.
Saya juga terpaksa berhutang dengan rakan bagi menjelaskan sewa bulanan rumah sebanyak RM650.
Terpaksa beri anak minum teh
Selain itu, Roslan dan isterinya, Windy, 25, pernah terpaksa memberi bayi mereka minum teh oleh kerana tiada wang untuk membeli susu formula.
Menurutnya, dia telah memberikan anaknya yang berusia sembilan bulan minum teh selama tiga hari sebelum bertindak menggadai barang kemas milik isterinya.
Tiga hari anak kami diberi minum teh, dia sering menangis mungkin sakit perut. Saya dan isteri kemudian membuat keputusan menggadai seutas rantai emas bagi membeli keperluan harian.
Katanya lagi, dia serta isteri tidak peduli jika tiada barangan untuk dimakan setiap hari, kerana lebih mementingkan perut anak kecilnya.
Walaubagaimanapun, dia turut menzahirkan rasa syukur selepas menerima kunjungan dua wakil dari syarikat pemaju yang berpangkalan di Pulau Pinang untuk menyalurkan bantuan sebelum ini.