Belum pudar lagi kes melibatkan usahawan kosmetik, Nur Sajat yang berjaya melarikan diri ke Thailand dan dikatakan telah dibantu oleh seorang individu.
Bagaimanapun, Sajat yang telah ditahan oleh imigresen Thailand dikatakan menerima bantuan daripada seorang lelaki yang mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand.
Perbincangan masih diteruskan untuk membawa kembali Sajat ke Malaysia, namun beberapa halangan menjadi punca proses tersebut sukar dijalankan.
Identiti Individu tolong Sajat didedahkan
Menurut laporan Harian Metro, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Wan Besi telah bertanggungjawab menyusun penyeludupan keluar usahawan kosmetik itu.
Berdasarkan sumber, hasil siasatan baharu dilakukan pihak berkuasa mendapati Wan Besi adalah dalang atau watak utama pembolosan Nur Sajat ke Thailand.
Individu tersebut telah membawa Nur Sajat dengan menaiki kenderaan dan memulakan perjalanan dari banglonya di Petaling Jaya pada minggu pertama Mac lalu.
Sebaik tiba di Padang Besar, Wan Besi dengan bantuan konconya menyeludup Nur Sajat ke dalam gerabak kereta api sebelum melepasi sempadan negara.
Wan Besi ini kita percaya mempunyai dua kerakyatan dan dialah yang membawa Nur Sajat ke kondominium mewah di Bangkok.
RM20,000 sebagai cagaran
Ditanya mengenai kos perbelanjaan sebenar, sumber memaklumkan sebanyak RM20,000 dikenakan Wan Besi kepada Sajat sepanjang pembolosannya itu.
Selain itu, wang tersebut juga dikatakan telah dibahagikan Wan Besi dengan pihak tertentu di kawasan Padang Besar yang bersubahat dengannya.
Menurut pihak berkuasa, mereka percaya terdapat bayaran lain yang dikenakan kumpulan itu untuk membawa Sajat dari Lembah Klang ke Padang Besar, Perlis dan siasatan masih dilakukan.
Mengulas lanjut, Wan Besi sememangnya aktif dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand dan menjadikan kawasan KTMB sebagai laluan utama dalam menjalankan aktiviti jenayahnya itu.
Katanya, individu tersebut pernah ditahan tiga kali oleh polis membabitkan kes penyeludupan ketum dan terbaharu kes tembakan di sempadan yang menyebabkan kematian anggota Pasukan Gerakan Am.
Laluan pagar KTMB juga sering menjadi laluan utama rakyat Thailand membolosi sempadan negara.
Selain itu, kita juga percaya ada aktivis tertentu yang membantu menasihati Nur Sajat untuk memohon kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan berpindah ke Australia.
Bagaimanapun, dipercayai aktivis ini telah memberikan nasihat berkaitan human right dan prosedur berhijrah ke Australia dengan alasan Sajat menerima banyak ugutan bunuh.